30 Ogos 2010

Salam Kemerdekaan ke-53 buat semua anak MERDEKA!!!


Kabinet Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi 2010/2011 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-53 buat semua anak MERDEKA... Hayatilah puisi yang berjudul:

"Di Halaman Kembang Sepatu Ini, Selamanya Sejahteralah Warga"

Ketika desar-desir suara angin menyentak rumput di halaman,

Udara hitam dari sukma duka wangsa menyentuh gusar malam

Bahtera kebanggaan yang selama ini teguh dan agam

Tiba-tiba tercarik layar, tersasar haluan.

Ketika angin serong menyusur ke lembah gersang

Badai malam dari kalbu musykil murba menggigit sumsum alam

Bangsa yang sekian lama megah dan padu

Tiba-tiba menerka udara mahing kemarau silatur

Menyeret ke musim silam yang kontang.

Kau bangsaku, jangan lupa pada harumnya tubuh Sepumtum

Kaku menjulur di tali gantung, demi mempertahankan

sekangkang Pasir Salak. Kau saudara seagamaku, jangan lupa

pada wanginya jenazah Tok Janggut,

Terjerut songsang di pinggir jalan

demi mendaulatkan seketing tanah Pasir Putih

generasiku, jangan lupa akan manisnya

darah leftenan Adnan yang terpercik di makam Tanjung Puteri

demi menegakkan martabat nusa. Jangan sesaat pun kau lupa

akan nyaringnya pekikan para katwal

yang redha berputih tulang

membentengi Rumah Pasung Bukit Kepong

demi memelihara maruah pertiwi.

Generasiku yang merdeka,

Kita tidak pantas meneruskan nafas perjuangan ini

Andai kita menjadi api yang marak diam merentungkan sekam

Kita tidak pantas mengembangkan kuntum kemerdekaan ini

Jika gunting dendam terus meracik licik dalam lipatan

Kita tidak pantas merenjiskan madu kedamaian ini

Kalau duri iri masih merodok setiap serat daging kita,

Saudara sebangsa ku.

Di sinilah halaman mesra kita,

Halaman pusaka – pusaka pejuang terbilang

Halaman merdeka – merdeka tanpa decitan darah,

Halaman membangun – membangun dengan keringat kendiri,

Mengorak maju bersama perbawa pemimpin,

Menyantap damai berkat perpaduan warga,

Moga kekal selamanya.

Dihalaman kembang sepatu ini,

Pertahankanlah daulah addin nan quddus

Di halaman udara segar bugar ini,

Perteguhkan maruah bangsa nan mulus

Dihalaman redup rimbun pohon kemerdekaan ini,

Abadikanlah kemakmuran sejati

Di halaman multi bangsa nan demokrasi ini,

Selamanya sejahteralah warga,

Sepanjang alaf menjulang bangsa

(al-Fatihah buat semua pejuang kemerdekaan yang telah gugur di medan perjuangan)

10 Ogos 2010

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1431H


Kabinet Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) sesi 2010/2011 mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1431 H kepada semua warga Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) terutamanya para mahasiswa dan mahasiswi. Semoga kita berjaya melipat gandakan amalan di bulan yang mulia ini. Sempena bulan Ramadhan yang bakal menjelang esok*, pihak CASS dengan kerjasama SMF, STC dan BACAS bakal mengedarkan naskhah Salam Ramadhan buat tatapan semua warga fakulti sebanyak 20 edisi. Dapatkan edisi harian tersebut di Student Lounge dan surau lelaki juga perempuan.

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan....

Ikhlas dari kami,

"Kebajikan Anda Manifestasi Kami"

29 Julai 2010

MAJLIS PERJUMPAAN DEKAN BERSAMA MAHASISWA FSPPP 2010


Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dengan kerjasama Suruhanjaya Khas Fakulti (STC) dan Non-Allignment Members (NAM) bakal menganjurkan "Majlis Perjumpaan Dekan Bersama Mahasiswa FSPPP 2010" pada 30 Julai 2010 bermula jam 3.00 petang bertempat di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam.

Antara agenda yang bakal diadakan semasa majlis tersebut adalah:

  1. Amanat Bonda daripada Dekan Fakulti
  2. Sesi soal jawab hasil maklumbalas daripada Borang Aduan Pelajar
  3. Persembahan kebudayaan daripada Simfoni Melodi Citra Tari (SIMECTRA)
  4. "Pengkisahan Perjuangan Menegakkan Kedaulatan Negara"
  5. Deklamasi Puisi Patriotik dengan Iringan Muzik Akustik
Kehadiran semua warga FSPPP adalah diwajibkan. Harap maklum.

03 Jun 2010

TARIKH PENGUMUMAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN APRIL 2010


Keputusan rasmi peperiksaan akhir semester sesi Disember-April 2010 dijangka akan dapat diketahui pada 10 Jun 2010 jam 3.00 petang. Sebagaimana biasa, keputusan tersebut akan dipaparkan menerusi Student Portal UiTM.

Harap Maklum dan Semoga Berjaya kepada semua pelajar.

Kebajikan Anda Manifestasi Kami

02 Jun 2010

SMF FSPPP MENGUTUK KEKEJAMAN ISRAEL


KABINET SMF FSPPP 2010/2011 mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh komando-komando Zionis Israel terhadap konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin. Atas rasional bahawa serangan tersebut tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia, maka SMF FSPPP dengan ini menyeru seluruh warga fakulti untuk mengadakan solat hajat, bacaan Yaasin dan berdoa semoga keadaan akan kembali pulih dengan segera, tebusan-tebusan dibebaskan, sekatan dihentikan dan keselematan rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut terus dipelihara oleh Allah S.W.T.